shopify analytics ecommerce
tracking

Simpanan tidak mencukupi punca penyewa tangguh beli rumah - PropertyGuru

05 Sep 2024

KUALA LUMPUR: Kajian Sentimen Pengguna Separuh Pertama 2024 oleh PropertyGuru Malaysia menunjukkan bahawa 74 peratus penyewa sedia ada mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh penyewaan mereka sehingga dua tahun lagi sebelum membeli rumah.

Pengurus Negara Malaysia, PropertyGuru dan iProperty, Kenneth Soh, berkata simpanan yang tidak mencukupi menjadi punca utama golongan berkenaan menangguhkan pembelian hartanah.

"Oleh itu, pengenalan inisiatif deposit MADANI adalah satu langkah penting untuk mengurangkan kebimbangan ini. Dengan mengurangkan beban kewangan awal, inisiatif boleh menjadikan pemilikan rumah lebih mudah dicapai oleh ramai rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif deposit MADANI yang dicadangkan oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah satu langkah yang terpuji dalam menangani cabaran keupayaan pemilikan rumah yang dihadapi pembeli rumah di Malaysia.

"Sebagai platform hartanah terkemuka, kami di PropertyGuru Malaysia amat sedar akan halangan kewangan yang sering dihadapi oleh bakal pemilik rumah, terutamanya apabila membabitkan bayaran pendahuluan yang diperlukan untuk membeli hartanah," katanya.

Sementara itu, Soh berkata 36 peratus daripada responden menyatakan bahawa ketidakmampuan menyimpan wang untuk bayaran pendahuluan adalah halangan utama.

Sehubungan itu, katanya inisiatif MADANI bukan sahaja memberikan kelegaan segera dengan meringankan kos awal, tetapi juga menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda, untuk mengambil langkah pertama yang penting ke arah pemilikan rumah.

"Oleh itu, inisiatif ini menyediakan kelegaan yang amat diperlukan dan laluan yang berdaya maju ke arah pemilikan rumah," katanya.

Mengulas lanjut, Soh menegaskan bahawa kepentingan perumahan mampu milik tidak boleh dipandang ringan.

Beliau berkata, apabila halangan deposit awal diturunkan, ia membuka pintu kepada pemilikan rumah untuk segmen penduduk yang lebih luas, terutamanya mereka yang berada dalam kelompok berpendapatan sederhana dan rendah.

Katanya, eterangkuman ini penting untuk membina pasaran hartanah yang adil dan saksama di mana lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai peluang untuk memiliki rumah mereka sendiri, tanpa mengira titik permulaan kewangan mereka.

"Kami percaya bahawa inisiatif seperti ini akan memberi kesan positif yang berkekalan kepada pasaran hartanah Malaysia. Kami tetap komited untuk menyediakan pandangan dan alat yang memperkasakan rakyat Malaysia untuk menavigasi perjalanan hartanah mereka dengan lebih yakin.

"Kami berharap dapat melihat hasil positif daripada inisiatif ini dan tetap berdedikasi untuk menyokong usaha kerajaan dalam mewujudkan pasaran hartanah yang lebih inklusif dan mudah diakses di Malaysia," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/09/1293833/simpanan-tidak-mencukupi-punca-penyewa-tangguh-beli-rumah

 


>> Back to News


Print