Rumah harga RM300,001 hingga RM700,000 paling banyak dilancar.
24 Sep 2024PETALING JAYA: Jumlah pelancaran dan prestasi jualan hartanah kediaman meningkat pada separuh pertama 2024 dengan harga jualan yang paling banyak dilancarkan oleh pemaju adalah sekitar RM300,001 hingga RM700,000, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).
Kajian Industri Hartanah REHDA untuk Separuh Pertama 2024 dan Kajian Pasaran untuk Separuh Kedua 2024 dan Separuh Pertama 2025, yang mengumpulkan maklum balas daripada 162 daripada lebih 1,500 ahli REHDA, melaporkan bahawa unit yang dilancarkan meningkat tujuh peratus kepada 11,814 unit pada separuh pertama 2024 berbanding 11,032 unit pada separuh kedua 2023.
Prestasi jualan juga mencatatkan pertumbuhan kecil dengan 13,445 unit dijual berbanding 12,017 unit pada separuh kedua 2023.
Kajian itu menunjukkan 65 peratus atau 8,699 unit adalah membabitkan jumlah unit tidak terjual pada separuh pertama 2024, dan baki adalah daripada pelancaran baharu pada separuh pertama 2024.
Kajian sama turut mendapati bahawa jenis hartanah yang paling dicari ialah kediaman servis dan rumah teres dua hingga tiga tingkat.
Presiden REHDA, Datuk Ir Ho Hon Sang, berkata walaupun hasil kajian tidak menggambarkan semua projek yang dilancarkan atau jualan yang dibuat dalam tempoh yang dikaji, hasilnya memberi petunjuk bahawa industri stabil meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Beliau berkata, pihaknya berharap trend meningkat akan berterusan, dan mod pemulihan akan kekal lancar untuk peserta industri.
Katanya, sebarang peningkatan dalam stok perumahan akan terus membantu dalam menjadikan perumahan lebih mampu milik untuk rakyat.
"Sebanyak 44 peratus responden bercadang untuk melancarkan projek mereka pada separuh kedua 2024. Responden juga lebih optimis mengenai pasaran pada separuh pertama 2025," katanya pada taklimat media mengenai hasil kajian itu di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden REHDA, Datuk Zaini Yusoff dan Timbalan Setiausaha Agung REHDA, Carrie Fong Kah Wai.
Kajian REHDA itu menunjukkan 49 peratus responden melaporkan mempunyai unit kediaman yang belum terjual, dengan 24 peratus daripada unit itu membabitkan kediaman servis.
Dari segi julat harga, 46 peratus responden melaporkan bahawa unit siap mereka yang tidak terjual berharga RM500,000 dan ke bawah.
Responden memberi tiga alasan utama yang menyumbang kepada situasi rumah siap tidak terjual iaitu penolakan pinjaman pembiayaan akhir, permintaan atau minat yang rendah dan lot Bumiputera.
Sebanyak 33 peratus daripada lot Bumiputera siap tidak terjual berusia lebih 36 bulan, justeru, REHDA percaya isu itu perlu ditangani oleh industri.
Sementara itu, 74 peratus daripada responden melaporkan peningkatan dalam kos keseluruhan menjalankan perniagaan pada separuh pertama 2024.
Kajian itu menunjukkan 69 peratus responden menghadapi cabaran pembinaan pada separuh pertama 2024, dengan harga bahan binaan yang tinggi mempunyai kesan kritikal terhadap operasi perniagaan, manakala kekurangan bekalan serta ketidakkonsistenannya dilaporkan mempunyai kesan sederhana.
Majoriti responden pula menyatakan terkesan oleh keadaan ekonomi dalam tempoh dikaji dan telah mengambil pelbagai langkah penjimatan kos untuk mengurangkan kesan.
Ini termasuk membekukan pengambilan, menawarkan kurang manfaat atau faedah, menjadualkan semula pelancaran projek yang dirancang dan mengurangkan skala pelancaran.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/09/1297404/rumah-harga-rm300001-hingga-rm700000-paling-banyak-dilancar
>> Back to News