shopify analytics ecommerce
tracking

Deposit MADANI mampu atasi isu pemilikan rumah golongan muda - PropertyGuru

04 Oct 2024

KUALA LUMPUR: PropertyGuru menyifatkan cadangan deposit MADANI daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai langkah baik yang boleh membantu mengatasi masalah pemilikan rumah dalam kalangan orang muda.

Pengurus Negara Malaysia, PropertyGuru dan iProperty, Kenneth Soh, berkata ini kerana berdasarkan kajian sentimen pengguna separuh kedua 2024 yang dilakukannya, 44 peratus pembeli rumah pertama menyatakan mereka mempunyai masalah untuk sediakan wang pendahuluan.

"Saya berpandangan, inisiatif ini adalah bersasar dan terus kepada sasaran yang ingin dibantu. Saya amat menyokongnya kerana ia membantu komuniti tertentu yang memerlukannya.

"Dan kita tahu bahawa jika kita mahu mempengaruhi pasaran secara keseluruhan, contohnya, jika kita mahu melaksanakan inisiatif yang mempengaruhi harga hartanah secara keseluruhan, ia jauh lebih sukar dan kurang bersasar kerana ia akan memberi kesan kepada seluruh pasaran.

"Sebaliknya, inisiatif Deposit Madani adalah satu langkah secara terus dan mudah difahami, di mana kita mahu membantu pembeli muda dengan memberikan sokongan untuk memulakan langkah ke arah pemilikan hartanah," katanya pada sesi bersama media yang diadakan di sini, hari ini.

KPKT sebelum ini melaporkan yang inisiatif deposit MADANI sehingga RM30,000 untuk pembeli rumah pertama antara cadangan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2025.

Kementerian itu bercadang melaksanakan pemberian deposit itu selaras dengan dasar kerajaan 'Rumahku, Syurgaku'.

Dalam pada itu Kenneth berkata, pembangunan projek rumah mampu milik (RMM) perlu melihat kepada keperluan pembeli supaya tidak menyumbang kepada lambakan rumah siap tidak terjual yang akhirnya akan memberi kerugian kepada pemaju.

Katanya, biarpun harga jualan kediaman adalah satu faktor penting dalam pertimbangan pembeli, ia bukan satu-satunya faktor yang mempengaruhi keputusan mereka.

"Jika pembangunan dilaksanakan di kawasan yang jauh dan sukar diakses, meskipun harganya rendah permintaan tidak akan tinggi, jadi isu lebihan bekalan akan timbul.

"Dalam pembangunan RMM, penting supaya pemaju memikirkan keperluan pembeli seperti lokasi yang tepat, ketersediaan kemudahan di kawasan tersebut dan kelengkapan yang disediakan supaya ia berpadanan dengan permintaan pasaran.

"Selain itu, permohonan dan kelayakan untuk RMM juga perlu dipermudahkan kerana mungkin terdapat sebahagian daripada golongan sasaran tidak memiliki kemahiran digital secukupnya untuk memohon," katanya.

Dari segi tinjauan keseluruhan, Kenneth berkata, pihaknya melihat indikator separuh pertama tahun ini menunjukkan tanda positif dalam sektor pasaran hartanah.

"Kami melihat permintaan berkembang, bukan hanya di kawasan pusat bandar tetapi juga di kawasan pinggir bandar. Kadar faedah agak stabil dan pertumbuhan ekonomi Malaysia juga sihat.

"Semua ini menunjukkan sektor hartanah berada dalam keadaan baik," katanya.

Berdasarkan Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, rumah dalam julat harga mampu milik di bawah RM300,000 menyumbang 30.2 peratus (6,840 unit) daripada jumlah keseluruhan kediaman siap tidak terjual negara yang kini sebanyak 22,642 unit.

Rumah pada julat harga antara RM500,001 dan RM1 juta menduduki tempat kedua, mencakupi 29.6 peratus (6,694 unit).

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/10/1305687/deposit-madani-mampu-atasi-isu-pemilikan-rumah-golongan-muda

 


>> Back to News


Print