Cukai Warisan membebankan waris, 'bunuh' minat beli rumah
18 Oct 2024KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berharap hartanah kediaman akan dikecualikan daripada cukai warisan sekiranya ia diperkenalkan pada masa depan.
Presiden REHDA, Datuk Ir Ho Hon Sang, berkata REHDA menyedari spekulasi yang timbul berhubung kemungkinan pengenalan semula cukai warisan semasa pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini.
Katanya, persatuan berpendapat bahawa cukai warisan hanya akan menjadi beban kepada waris keluarga, terutamanya kepada anak-anak daripada golongan berpendapatan rendah atau kelas pertengahan yang tiba-tiba terbeban dengan cukai yang mungkin terlalu tinggi kerana harta yang mereka warisi.
"Hartanah kediaman adalah salah satu aset paling bernilai yang dimiliki seseorang individu, dan kemungkinan besar menjadi simpanan utama bagi kebanyakan orang.
"Pengenalan semula cukai yang telah dimansuhkan lebih tiga dekad lalu hanya akan menghalang rakyat biasa daripada membeli rumah sebagai alat pelaburan.
"Ramai rakyat mungkin akan mengelak daripada melabur dalam pelaburan berisiko tinggi dan akan memilih hartanah sebagai salah satu pilihan pelaburan paling selamat bagi mereka yang mampu, memandangkan nilainya yang dijangka akan meningkat," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke baru-baru ini menegaskan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri tidak pernah berbincang atau bercadang memperkenalkan cukai warisan seperti didakwa sesetengah pihak.
Berikutan itu, Setiausaha Agung DAP itu meminta orang ramai tidak mudah mempercayai andaian yang dibuat oleh mana-mana pihak termasuk penganalisis ekonomi.
"Saya tidak pernah dengar ada cadangan ini dalam mesyuarat Kabinet dan tidak pernah bincang pun mengenainya. Jadi jangan percaya pada andaian," katanya.
Mengulas lanjut, Hon Sang berkata pemilik baharu yang mewarisi hartanah mungkin terpaksa menjual rumah pusaka mereka kerana tidak mampu membayar cukai yang dikenakan, sekali gus kehilangan rumah mereka serta pelaburan yang dimulakan oleh keluarga yang telah meninggal dunia.
Beliau berkata, keadaan itu akan menghalang pemilikan hartanah jangka panjang.
REHDA juga, katanya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan yang menafikan kemungkinan cukai warisan diperkenalkan semula pada tahun hadapan.
"Namun, sekiranya cukai ini diperkenalkan pada masa hadapan, kami percaya bahawa hartanah kediaman harus dikecualikan daripada peraturan baharu itu.
"Kita sepatutnya membantu rakyat memiliki rumah, bukannya mengehadkan pilihan mereka," katanya.
Cukai warisan kepada orang kaya, dikenali sebagai Cukai Warisan Harta merujuk cukai dikenakan ke atas tinggalan harta pusaka dan pemindahan aset pada nilai tertentu dalam kalangan golongan kaya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/10/1311711/cukai-warisan-membebankan-waris-bunuh-minat-beli-rumah
>> Back to News