shopify analytics ecommerce
tracking

Sektor pengguna, hartanah penerima manfaat besar Belanjawan 2025

06 Nov 2024

KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan sektor pengguna dan hartanah dijangka meraih manfaat terbesar daripada Belanjawan 2025, kata AmInvestment Bank.

Namun, ia berkata, industri yang bergantung kepada buruh asing seperti perladangan, sarung tangan dan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) mungkin berdepan cabaran.

Bank pelaburan itu berkata, sektor pengguna dan hartanah menjadi penerima manfaat Belanjawan 2025 berikutan pengumuman peningkatan gaji minimum dan insentif bagi pembeli rumah pertama.

Justeru, katanya, syarikat di bawah liputannya yang dijangka mendapat manfaat Mr DIY Group (M) Bhd, Spritzer Bhd, Sime Darby Property Bhd dan Mah Sing Group Bhd.

"Gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,700 sebulan (bermula Februari 2025). Penekanan juga diberikan pada kemampuan mampu milik, dengan insentif untuk pembeli rumah kali pertama dan pengumuman bahawa PERODUA sedang mengusahakan kenderaan elektrik kurang RM100,000," katanya dalam nota penyelidikannya.

AmInvestment Bank berkata, bagi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan, terdapat rancangan untuk mewajibkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja asing, yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Katanya, dalam jangka terdekat, ia akan menjadi negatif bagi sektor yang bergantung kepada buruh seperti perladangan, sarung tangan dan EMS.

Namun, ia berkata, memandangkan jangkaan kenaikan gaji minimum dan kelonggaran yang disediakan untuk pelaksanaan, kesan sebenar mungkin tidak begitu teruk.

AmInvestment Bank berkata, dalam Belanjawan 2025, kerajaan memilih pendekatan bersasar untuk mencapai sasaran defisit fiskal jangka sederhana dengan unjuran 3.8 peratus bagi 2025.

Ia berkata, akan ada pengurangan subsidi secara beransur-ansur untuk kumpulan pendapatan 15 peratus teratas, iaitu rasionalisasi RON95 pertengahan 2025, subsidi penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Katanya, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperluaskan untuk memasukkan item tidak penting seperti barangan import premium dan transaksi komersial antara perniagaan yang sebelum ini dikecualikan.

"Cukai dividen dua peratus akan dikenakan ke atas pendapatan dividen yang diterima melebihi RM100,000. Ini tidak mungkin mempunyai kesan yang terlalu besar ke atas saham dividen, kerana ia hanya diterjemahkan kepada impak pengurangan 10 mata asas pada hasil (dengan mengandaikan hasil dividen lima peratus)," katanya.

Melangkaui Belanjawan 2025, AmInvetsment Bank menjangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memperkenalkan lebih banyak perubahan drastik dalam dasar cukai tahun depan semasa pertengahan penggalnya, bertujuan untuk mewujudkan trajektori yang lebih mampan bagi pertumbuhan hasil kerajaan.

Ia berkata, daya tarikan Malaysia untuk pelaburan langsung asing (FDI) melangkaui kestabilan politik dan ia juga termasuk buruh mampu milik, air dan elektrik.

"Kenaikan gaji minimum, pada pandangan kami, bertujuan untuk menggalakkan usahawan tempatan memikirkan semula strategi perniagaan mereka," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/10/1316542/sektor-pengguna-hartanah-penerima-manfaat-besar-belanjawan-2025

 


>> Back to News


Print