shopify analytics ecommerce
tracking

Rumah RM300,000 hingga RM500,000 paling banyak tak terjual

18 Nov 2024

KUALA LUMPUR: Kediaman berharga RM300,000 hingga RM500,000 menjadi komponen hartanah paling banyak tidak terjual, mewakili 31.9 peratus atau 7,003 unit bernilai RM2.78 bilion sepanjang suku ketiga 2024, demikian menurut laporan terkini Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

Menurut agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) itu, daripada jumlah keseluruhan kediaman tidak terjual 21,968 unit bernilai RM13.85 bilion yang dicatatkan pada suku dikaji, kediaman berharga RM500,000 hingga RM1 juta (29.4 peratus) mencatatkan 6,462 unit tidak terjual bernilai RM4.3 bilion.

Sementara itu, hartanah di bawah RM300,000 (27.3 peratus) dengan 5,999 unit atau RM1.32 bilion dan hartanah melebihi RM1 juta (11.4 peratus) sebanyak 2,504 unit atau RM5.45 bilion.

Dalam laporan sama, kediaman jenis bertingkat menjadi komponen paling banyak tidak terjual membabitkan 13,455 unit, lebih separuh atau 61.2 peratus, diikuti hartanah jenis teres sebanyak 5,187 unit atau 23.6 peratus dan lain-lain (3,326 unit) atau 15.1 peratus.

Mengikut negeri pula, Kuala Lumpur mencatatkan kediaman paling banyak tidak terjual sebanyak 3,273 unit, diikuti Perak (3,039 unit) dan Johor (3,030).

Menurut laporan itu, kediaman berusia lima hingga 10 tahun menjadi hartanah tidak terjual paling banyak dengan 10,774 unit; diikuti kediaman di bawah tiga tahun dengan 5,498 unit; kediaman berusia tiga hingga lima tahun (4,726 unit); dan kediaman melebihi 10 tahun (970 unit).

Bagi hartanah sedang dibangunkan tidak terjual pula, kediaman berharga di bawah RM300,000 paling banyak tidak terjual iaitu masing-masing 11,562 unit dan 10,864 unit untuk jenis teres dan bertingkat.

Manakala, bagi kediaman belum dimajukan, unit berharga di bawah RM300,000 juga kekal menjadi komponen paling banyak tidak terjual dengan 2,181 unit (teres) dan 1,704 unit (bertingkat).

Secara keseluruhan, NAPIC mendedahkan kediaman siap dibina tidak terjual mencatat penurunan kepada 21,968 unit bernilai RM13.85 bilion pada suku ketiga 2024, berbanding 22,642 unit bernilai RM14.24 bilion yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Momentum sama turut diperlihatkan menerusi komponen subsektor apartmen servis apabila sebanyak 20,158 unit bernilai RM16.53 bilion dengan lebih 50 peratus unit berharga RM500,000 hingga RM1 juta mendominasi keseluruhan kediaman tidak terjual.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak, berkata secara keseluruhannya prestasi pasaran harta tanah suku ketiga 2024 terus mengukuh.

Beliau berkata, pada suku dikaji, bilangan dan nilai transaksi masing-masing berkembang 3.1 peratus dan 0.3 peratus, menokok kepada 112,305 transaksi bernilai RM57.31 bilion, berbanding 108,933 transaksi bernilai RM57.14 bilion pada suku ketiga 2023.

Katanya, prestasi pasaran hartanah yang kukuh pada suku ketiga 2024 ini didorong oleh pertumbuhan positif bilangan transaksi hartanah di semua subsektor dan prestasi memberangsangkan status pasaran harta tanah.

"Sokongan berterusan kerajaan dan pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia menyumbang impak yang signifikan prestasi aktiviti pasaran hartanah suku ketiga 2024.

"Kerangka Ekonomi MADANI yang memberikan tumpuan kepada penstrukturan semula dan pembaharuan agenda ekonomi Malaysia serta pelaksanaan pelan dasar utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) mula menunjukkan keberhasilan positif dan menyokong transaksi sektor harta tanah industri.

"Sebagai salah satu enjin induk pertumbuhan ekonomi negara, pengukuhan industri harta tanah memberi keyakinan terhadap pertumbuhan kukuh pasaran harta tanah, sekali gus mencapai transformasi ekonomi negara" katanya membentangkan prestasi pasaran hartanah suku ketiga 2024 di platform Facebook rasmi JPPH, hari ini.

Abdul Razak berkata, prestasi mengikut segi subsektor, hartanah industri mencatat pertumbuhan aktiviti paling kukuh, merekodkan peningkatan masing-masing 13.6 peratus dan 26.7 peratus bilangan dan nilai transaksi.

"Subsektor komersial mencatat bilangan transaksi kedua tertinggi (7.7 peratus), diikuti kediaman (2.6 peratus), tanah pembangunan dan lain-lain (2.2 peratus) dan pertanian (0.4 peratus).

"Dari segi nilai, semua subsektor merekodkan pertumbuhan positif, kecuali pertanian dan tanah pembangunan dan lain-lain," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/11/1324184/rumah-rm300000-hingga-rm500000-paling-banyak-tak-terjual

 


>> Back to News


Print