shopify analytics ecommerce
tracking

Jualan hartanah dijangka meningkat, pemaju tumpu rumah bertingkat tinggi

07 Jan 2025

KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd menjangkakan jualan hartanah akan meningkat 10 peratus tahun ini, dengan sebahagian pemaju berkemungkinan menumpukan kepada pelancaran rumah bertingkat tinggi harga pertengahan bagi memulihara simpanan tanah dan menangani isu kemampuan pembeli.

Penganalisisnya, Loong Kok Wen, berkata sebahagian lagi pemaju akan meneruskan strategi sedia ada, dengan tawaran produk komersial dan perindustrian.

"Kami percaya permintaan keseluruhan hartanah pada 2025 akan kekal memberangsangkan, disokong oleh pertumbuhan ekonomi dan pelaburan langsung asing (FDI) yang menggalakkan. Iskandar Malaysia akan terus menjadi pilihan dan bakal menyaksikan lebih banyak pelancaran pada 2025.

"Walaupun pasaran menyaksikan permintaan kukuh pada 2024, kami merasakan pembelian asing masih belum berlaku pada skala yang besar, memandangkan titik harga produk yang dilancarkan sepanjang satu hingga dua tahun lalu kebanyakannya di bawah paras RM1 juta," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Beliau berkata, jualan hartanah secara agregat dalam sembilan bulan pertama 2024 hampir menyamai tempoh yang sama tahun sebelumnya, membayangkan momentum jualan kukuh sejak 2023 berjaya dipertahankan setakat ini.

"Satu lagi trend utama yang kami perhatikan adalah terdapat pemaju besar yang mula mencatatkan jualan lebih tinggi daripada segmen perindustrian. Sebagai contoh, jualan hartanah perindustrian merangkumi kira-kira 32 peratus jualan Sime Darby Property Bhd (kebanyakannya daripada penjualan unit-unit kilang) dan 27 peratus jualan Eco World Development Group (separuh daripada penjualan tanah kepada pusat data)," katanya.

Kok Wen berkata, peluang untuk mengumpul aset timbul apabila sektor perindustrian rancak berkembang memandangkan rantau Asia Tenggara masih lagi berada pada kedudukan baik untuk perdagangan dunia dan mungkin akan meraih kenaikan pelaburan langsung asing sebagai manfaat daripada penyimpangan perdagangan selepas Donald Trump diangkat sebagai presiden baharu Amerika Syarikat (AS) bulan ini.

Sehubungan itu, katanya pemaju yang terdedah kepada pembangunan perindustrian akan terus mendapat manfaat.

Menurutnya, selain urus niaga tanah dan pembangunan hartanah perindustrian, permintaan dalam bidang ini juga mungkin membuka peluang strategik buat pemaju untuk mengumpul aset-aset hartanah perindustrian dalam jangka sederhana.

"Kami menjangkakan nilai syarikat pemaju bermodal kecil akan mampu mengejar prestasi syarikat lebih besar, khususnya syarikat yang mencatat jualan hartanah tinggi, kunci kira-kira baik, lokasi bank tanah yang strategik, dan pendedahan kepada segmen-segmen niaga khusus," katanya.

Sementara itu, beliau berkata faktor pemangkin lain yang berpotensi dalam sektor hartanah adalah projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR) dan Zon Kewangan Khas Pulau Pinang (SFZ).

Katanya, dalam jangka terdekat, pemeteraian perjanjian berkait dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan liputan berita mengenai HSR KL-SG dan Bandar Malaysia baru-baru ini mungkin akan meningkatkan sentimen pasaran terhadap sektor hartanah.

"Di Pulau Pinang, kerajaan negeri sedang memikirkan perancangan untuk menubuhkan sebuah SFZ. Antara kawasan tapak bina yang sesuai untuk SFZ ini dibangunkan termasuk Gurney Bay dan Pulau Andaman, dengan Eastern & Oriental (E&O) berpotensi muncul sebagai penerima manfaat terbesar berikutan pemilikan tanahnya yang tinggi di kawasan berkenaan," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/01/1344357/jualan-hartanah-dijangka-meningkat-pemaju-tumpu-rumah-bertingkat

 


>> Back to News


Print