shopify analytics ecommerce
tracking

Harga bahan pembinaan di Malaysia semakin terkawal, catat penurunan

03 Feb 2025

KUALA LUMPUR: Harga bahan pembinaan di negara ini menunjukkan trend yang stabil dengan purata harga bar keluli mencatatkan penurunan dua bulan berturut-turut, manakala simen pukal kekal di paras RM380 buat kali ke-18 bulan berturut-turut sejak Julai 2023.

MIDF Research dalam laporan penyelidikan sektor pembinaan berkata, berdasarkan harga bar keluli yang diberikan kepada Sunway Construction Group Bhd oleh pembekal dalam pasaran, purata harga bahan binaan itu susut 4.66 peratus bulan ke bulan pada Disember 2024 kepada RM2,443.25 satu tan.

Ia berkata, penurunan purata harga bar keluli pada bulan lalu itu juga masing-masing adalah pengurangan sebanyak 11.2 peratus tahun ke tahun dan 15.5 peratus dari awal tahun.

"Penurunan harga bar keluli pada 2024 kebanyakannya adalah disebabkan oleh lonjakan eksport keluli China ke tahap tertinggi sejak 2015, melepasi 100 juta tan, melambakkan pasaran global dengan bekalan kos murah, dipacu oleh penurunan mendadak dalam permintaan domestik.

"Pengeluar keluli China yang merangkumi lebih daripada 50 peratus pengeluaran dunia, telah melambakkan lebihan bekalan ke pasaran antarabangsa, justeru menyumbang kepada lebihan bekalan global dan mengurangkan tekanan ke atas harga," kata firma penyelidikan itu.

Tahun lalu, China mengimport rekod tertinggi 1.24 bilion tan bijih besi, bahan utama untuk membuat keluli, peningkatan tahunan sebanyak 4.9 peratus.

Peningkatan itu dipacu khususnya oleh harga bijih besi global yang lebih rendah, membolehkan pengeluar keluli China memanfaatkan pengurangan kos itu untuk menambah import bahan mentah mereka.

Sementara itu, MIDF Research berkata kestabilan berpanjangan harga simen yang menjadi bahan pengikat adalah

disebabkan oleh dinamik bekalan permintaan yang seimbang dalam pasaran, selain kos bahan mentah yang konsisten.

"Mengikut harga pembekal yang telah disebutkan oleh Sunway Construction, harga ini mencerminkan gambaran paling tepat mengenai arah aliran pasaran semasa dalam industri pembinaan Malaysia.

"Harga ini kekal konsisten di seluruh wilayah, termasuk utara, tengah dan timur Semenanjung, serta Sabah dan Sarawak," katanya .

Ia berkata, walaupun kos tenaga meningkat di peringkat global, pengeluar tempatan berjaya mengekalkan kecekapan operasi bagi memastikan tiada penyesuaian harga yang meningkat.

Sementara itu, MIDF Research berkata Malaysia kekal sebagai hab pusat data (DC) utama, dipacu oleh lokasinya yang strategik, sumber yang mencukupi, kelebihan daripada segi kos dan infrastruktur yang mantap.

Ia berkata, maklum balas industri juga menjangkakan tiada gangguan besar terhadap projek-projek akan datang, meskipun terdapat ketidaktentuan baru-baru ini dalam sektor pembinaan Malaysia membabitkan saham Gamuda dan Sunway Construction yang berpunca daripada kebimbangan terhadap sekatan cip kecerdasan buatan (AI) oleh pentadbiran Joe Biden.

"Dasar ini menyekat pengendali data Amerika Syarikat (AS) daripada menggunakan lebih daripada tujuh peratus kuasa pemprosesan mereka di negara Tier 2 seperti Malaysia dan mengehadkan penggunaan unit pemprosesan grafik (GPU) kepada 50,000 setiap kemudahan. Ini telah mencetuskan kebimbangan bahawa pelaburan DC berskala besar di Malaysia mungkin akan perlahan," katanya.

Sehubungan itu, MIDF Research menjangkakan keyakinan terhadap saham pembinaan akan pulih dalam beberapa bulan akan datang seterusnya mengukuhkan kekuatan jangka panjang sektor berkenaan.

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2025/01/1355757/harga-bahan-pembinaan-di-malaysia-semakin-terkawal-catat-penurunan

 


>> Back to News


Print