shopify analytics ecommerce
tracking

KPKT pertimbang wujud akta baharu tangani kelemahan pengurusan harta, bangunan

09 Apr 2025

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan akta baharu bagi menangani kelemahan pengurusan harta dan bangunan.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata ini kerana masalah pengurusan harta menyebabkan penurunan dalam nilai aset terutamanya ke atas bangunan berstrata.

Beliau berkata, ketika ini terdapat hanya 594 firma berlesen menguruskan 26,334 skim strata atau 2.91 juta unit dalam harta strata di Malaysia.

"Dalam erti kata lain, setiap firma secara purata bertanggungjawab untuk menguruskan hampir 4,900 unit dalam harta strata.

"Kekurangan firma berlesen ini mendorong kepada kualiti perkhidmatan yang lemah bagi Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Pengurusan (MC) serta penambahan pengurus harta yang tidak berlesen di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Strata Kebangsaan di sini, hari ini.

Kor Ming berkata, keadaan itu menyebabkan ramai pemilik harta dan penyewa terutama dalam skim strata berdepan kesukaran berikutan kemerosotan nilai aset akibat pengurusan bangunan yang lemah dan tidak mencukupi oleh pengurus harta yang tidak bertauliah dan tidak terlatih.

Justeru katanya, bagi menangani isu itu, KPKT bekerjasama dengan beberapa persatuan serta pihak berkepentingan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini untuk mengkaji satu akta baharu yang komprehensif dan mampu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengawalseliaan pengurusan harta dan bangunan di bawah KPKT.

Katanya, ketika ini pengurus harta dikawal selia bersama penilai, pentaksir dan ejen harta tanah di bawah Akta 242.

"Oleh itu, dengan mewujudkan akta baharu yang khusus bagi pengurus harta, kami berhasrat untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan harta di Malaysia.

"Selain itu, ia juga diharap dapat memastikan yuran penyelenggaraan yang dibayar oleh pemilik atau penyewa harta digunakan secara betul, seperti untuk penyelenggaraan lif dan taman, pengubahsuaian kemudahan, pengumpulan sisa buangan atau pembaikan sistem kumbahan," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/04/1381766/kpkt-pertimbang-wujud-akta-baharu-tangani-kelemahan-pengurusan-harta

 


>> Back to News


Print