shopify analytics ecommerce
tracking

77 % kuota Bumiputera tak laku!

14 Apr 2025

Kuala Lumpur: Isu lambakan unit kediaman tidak terjual terus membelenggu pasaran hartanah negara khususnya dalam kategori Bumiputera.

Ini membuatkan pasaran hartanah negara terus berdepan cabaran apabila unit kediaman tidak terjual terutama kategori Bumiputera masih tinggi.

Tinjauan Industri Hartanah Separuh Kedua 2024 (2H 2024) Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mendapati 77 peratus daripada unit Bumiputera yang siap dibina, tetapi tidak terjual berada dalam julat harga RM300,001 hingga RM500,000.

Lebih membimbangkan, 72 peratus unit terbabit sudah berusia lebih 36 bulan, sekali gus menunjukkan isu penawaran dan permintaan belum diselesaikan sepenuhnya.

Dengan 77 peratus daripada unit Bumiputera yang siap dibina tetapi tidak terjual, masalah ini kini menjadi cabaran besar kepada pemaju dan pembeli.

Bahkan, jumlah unit kediaman tidak terjual bukan sahaja menjejaskan pemaju, tetapi juga menghambat pertumbuhan sektor hartanah negara.

Tanpa penyelesaian menyeluruh, isu ini boleh menyebabkan tekanan ke atas pemaju dan pasaran serta menjejaskan pemilikan rumah bagi golongan Bumiputera.

Presiden Rehda Datuk Ir Ho Hon Sang berkata, seramai 66 daripada 177 responden Rehda atau 37 peratus yang mengambil bahagian dalam tinjauan berkenaan melancarkan projek mereka pada separuh kedua 2024 dengan 58 responden (34 peratus) lagi pada separuh pertama 2024.

Menurutnya, prestasi jualan pada separuh kedua 2024 menyaksikan sebanyak 3,802 unit terjual dengan kadar pengambilan 28 peratus menurun daripada 47 peratus pada separuh pertama 2024.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 43 peratus adalah unit siap tidak terjual membabitkan rumah bernilai RM400,001 hingga RM500,000 diikuti 11 peratus unit berharga RM500,001 hingga RM600,000 manakala sembilan peratus (RM1 juta ke atas).

"Bagi rumah bernilai RM900,000 hingga RM1 juta serta RM700,001 hingga RM800,000 - masing-masing merekodkan tujuh peratus selain bawah RM100,001 mencatatkan enam peratus.

"Pada masa sama, hartanah RM200,001 hingga RM300,000, RM100,001 hingga RM200,000 serta RM600,001 hingga RM700,000 masing-masing merekodkan empat peratus diikuti tiga peratus untuk rumah M300,001 hingga RM400,000 selain dua peratus bagi rumah RM800,001 hingga RM900,000," katanya.

Bagi unit Bumiputera pula, sebanyak 77 peratus unit siap tidak terjual itu berharga antara RM300,001 hingga RM500,000 dengan 72 peratus tidak terjual itu berusia lebih 36 bulan.

"Sebanyak lapan peratus daripada unit Bumiputera siap dibina, tetapi belum terjual membabitkan hartanah bernilai RM1 juta diikuti tujuh peratus (RM700,001 hingga RM1 juta).

"Lima peratus membabitkan nilai rumah di bawah RM300,001 serta tiga peratus lagi hartanah antara RM500,001 hingga RM700,000," katanya.

Sementara itu, Laporan Pasaran Harta 2024 Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) mendedahkan unit rumah dibina tidak terjual di Malaysia berjumlah 23,149 unit dengan anggaran nilai RM13.95 bilion.

Rumah berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 direkodkan sebagai komponen hartanah paling banyak tidak terjual di negara ini pada tahun lalu.

Pada masa sama, agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) turut mendedahkan, kediaman jenis bertingkat menjadi komponen paling banyak tidak terjual iaitu sebanyak 61.2 peratus atau 13,455 unit diikuti rumah teres sebanyak 5,187 unit (23.6 peratus) dan lain-lain 3,326 unit (15.1 peratus).

Kediaman berusia lima hingga 10 tahun turut menjadi hartanah tidak terjual paling banyak berjumlah 10,774 unit, diikuti kediaman di bawah usia tiga tahun dengan 5,498 unit; kediaman berusia tiga hingga lima tahun (4,726 unit) dan kediaman melebihi 10 tahun (970 unit).

Untuk kategori hartanah sedang dibangunkan tidak terjual, rumah berharga di bawah RM300,000 paling banyak tidak terjual iaitu masing-masing 11,562 unit dengan 10,864 unit untuk jenis teres dan bertingkat.

Bagi kediaman belum dimajukan, unit berharga di bawah RM300,000 kekal menjadi komponen paling banyak tidak terjual dengan 2,181 unit (teres) dan 1,704 unit (bertingkat).

https://www.hmetro.com.my/utama/2025/04/1206466/77-kuota-bumiputera-tak-laku

 


>> Back to News


Print