shopify analytics ecommerce
tracking

Rumah mampu milik tak laku bukan sebab harga, tapi lokasi dan mutu

15 May 2025

KUALA LUMPUR: Rumah mampu milik berharga bawah RM300,000 terus mencatat kadar tidak terjual yang tinggi, bukan kerana harga tidak mampu dibayar, tetapi disebabkan faktor lokasi yang tidak strategik dan mutu binaan yang tidak memuaskan.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Kenneth Soh, berkata lambakan hartanah kediaman siap dibina tidak terjual atau 'overhang' dalam segmen harga rendah berpunca daripada ketidaksepadanan antara apa yang ditawarkan oleh pemaju dan apa yang benar-benar diperlukan pembeli

Beliau berkata, meskipun rumah dalam kategori itu berada dalam julat mampu milik dari segi harga, kebanyakannya gagal menarik minat kerana lokasi yang jauh dari kawasan tumpuan serta kekurangan kemudahan asas.

Rumah ini mungkin mampu dibeli, tetapi tidak diminati. Kos sebenar seperti masa perjalanan yang jauh, keselesaan harian dan tahap keselamatan turut diambil kira dalam keputusan pembelian, katanya pada taklimat media tinjauan pasaran hartanah dan pelancaran Laporan Kemampanan PropertyGuru 2024, di sini, hari ini.

Menurut Soh, mutu pembinaan juga menjadi faktor utama mengapa pembeli enggan memiliki rumah dalam segmen berharga rendah itu, terutama apabila berdepan isu seperti saiz unit yang kecil, susun atur tidak praktikal dan kualiti binaan yang diragui.

Data Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang diumumkan pada Jumaat lalu menunjukkan hartanah kediaman bawah RM300,000 menyumbang kepada 30.3 peratus daripada jumlah keseluruhan rumah tidak terjual pada suku pertama 2025.

Sebanyak 7,135 unit dalam kategori itu direkodkan tidak terjual dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.58 bilion daripada keseluruhan 23,515 unit rumah overhang bernilai RM15 bilion.

Mengulas lanjut, Soh berkata pasaran bagi hartanah bernilai tinggi pula menunjukkan keseimbangan antara penawaran dan permintaan dengan unit bernilai tinggi biasanya lebih cepat terjual kerana lokasi yang strategik serta ciri dan kemudahan lebih baik.

Katanya, kegagalan projek rumah mampu milik bukan hanya berpunca daripada harga, sebaliknya faktor lain seperti kesesakan trafik yang serius di sekitar kawasan, kekurangan jaringan pengangkutan awam serta tahap keselamatan turut mempengaruhi keputusan pembelian.

Permintaan masih wujud untuk rumah bawah RM500,000, tetapi pembeli hari ini lebih bijak dan membuat penilaian menyeluruh sebelum membuat keputusan.

Tanpa mengira harga, setiap pembeli berhak kepada rumah yang selamat, selesa dan mudah diakses. Jika perkara ini tidak dititikberatkan, isu overhang akan terus berpanjangan, katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya industri hartanah mengubah pendekatan daripada sekadar menawarkan harga mampu milik kepada menyediakan rumah yang benar-benar memenuhi keperluan pembeli dari aspek kualiti hidup.

Soh turut mencadangkan supaya kerajaan dan pihak berkepentingan memperkukuh kerjasama dengan pemaju perumahan bagi merapatkan jurang antara penawaran dengan permintaan sebenar pengguna.

Sementara itu, Ketua Kelestarian PropertyGuru Group, Cécile Corda, berkata hasil tinjauan mendapati 83 peratus rakyat Malaysia sanggup membayar harga premium untuk rumah yang mempunyai ciri-ciri lestari seperti penjimatan tenaga, ketahanan terhadap risiko iklim dan nilai jangka panjang.

Kami mahu membantu pembeli membuat keputusan yang lebih bijak dan mampan. Ini penting untuk membina bandar yang lebih adil, selamat dan berdaya tahan untuk generasi akan datang, katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/05/1395826/rumah-mampu-milik-tak-laku-bukan-sebab-harga-tapi-lokasi-dan-mutu

 


>> Back to News


Print