Peluasan skop SST: REHDA jangka peningkatan harga rumah di tanah komersial
17 Jun 2025KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menjangkakan semakan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan menyebabkan peningkatan harga kediaman di tanah komersial.
Pembangunan di tanah komersial seperti apartmen servis dalam pembangunan bercampur akan tertakluk kepada pelaksanaan SST bersasar berkuat kuasa 1 Julai ini, namun pengecualian bangunan kediaman dan kemudahan awam yang berkaitan dengan perumahan memberikan sedikit kelegaan kepada industri.
Dalam landskap bandar hari ini terutamanya di pusat bandar, dengan unit kediaman sering menjadi sebahagian daripada pembangunan bercampur berikutan kekurangan tanah, menjadikan unit sedemikian tertakluk kepada SST yang membawa kepada peningkatan harga perumahan, sehingga memberi kesan kepada pembeli rumah.
Presiden REHDA Malaysia, Datuk Ir Ho Hon Sang, berkata golongan berpendapatan rendah akan turut terkesan seperti pembeli unit rumah mampu milik yang terletak di tanah komersial di bawah pelbagai program seperti Rumah MADANI, Rumah Selangorku dan Rumah Mesra Rakyat.
Selain itu, beliau berkata, beberapa pihak berkuasa tempatan mewajibkan kemasukan lot kedai dalam pembangunan kediaman strata, dan impak SST sudah pasti akan dirasai oleh pemilik unit itu juga.
Beliau menambah, memburukkan lagi perkara itu, infrastruktur yang dibina dalam pembangunan berkenaan juga akan dikenakan SST.
"Kami dengan hormatnya meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menangguhkan tarikh pelaksanaan, yang ditetapkan pada masa ini kira-kira dua minggu dari sekarang.
"Ramai ahli perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kami masih belum mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan tempoh tangguh sehingga 2026 akan memberi masa yang mencukupi untuk mereka membuat persiapan yang diperlukan," katanya.
REHDA juga melahirkan kebimbangan kadar SST enam peratus ke atas perkhidmatan pembinaan akan menimbulkan cabaran besar kepada pemaju, terutamanya disebabkan oleh jangkaan peningkatan dalam kos operasi.
Sebelum pengumuman itu, persatuan telah terbabit secara aktif dengan pihak berkuasa kerajaan melalui pelbagai rundingan bukan saja untuk membincangkan dan mendapatkan penjelasan tetapi juga menyerlahkan potensi kesan cukai itu ke atas industri.
Hon Sang berkata, pihaknya masih belum menentukan kesan yang tepat, namun menjangkakan langkah itu akan membawa kepada kelembapan dalam pasaran apabila pemaju membuat pelarasan kepada rancangan mereka.
Menurutnya, industri sudah pun menanggung cukai tidak langsung ke atas barangan berkaitan pembinaan seperti bahan binaan dan buruh, justeru penambahan SST hanya akan menambah beban.
"Untuk mengekalkan keadilan, kami amat berharap SST tidak akan digunakan secara retrospektif. Sebarang kenaikan harga yang diselaraskan dengan kontrak yang ditandatangani sebelum tarikh berkuat kuasa boleh mengakibatkan lebihan kos yang menyebabkan pemaju tidak mempunyai pilihan selain menyerap kos tambahan," katanya.
Hon Sang menegaskan, kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan teras REHDA dan persatuan itu akan terus menggalakkan ahlinya untuk menegakkan peranan pembinaan negara dalam menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti untuk rakyat dengan cara yang tepat pada masanya dan mampan.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/06/1407616/peluasan-skop-sst-rehda-jangka-peningkatan-harga-rumah-di-tanah
>> Back to News