shopify analytics ecommerce
tracking

Belanjawan 2026 cari mekanisme baharu utamakan rumah mampu milik

08 Sep 2025

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melihat mekanisme sokongan baharu bagi mengukuhkan reformasi perumahan di negara ini dengan keutamaan membabitkan rumah mampu milik dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Oktober ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata penyediaan rumah mampu milik menjadi tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri.

Katanya, antara langkah yang akan diperkasakan termasuk penggunaan model sewa-untuk-miliki atau 'rent-to-own', bagi membantu golongan yang masih belum mampu membeli rumah secara tunai atau pinjaman penuh.

Selain itu, tambahnya, kerajaan juga mahu mengurangkan risiko projek terbengkalai dengan menggalakkan konsep bina-kemudian-jual atau 'build-then-sell', berbanding kaedah bayaran progresif yang sering membebankan pembeli apabila projek gagal disiapkan.

"Dalam belanjawan yang akan datang pada Oktober, kita akan melihat mekanisme sokongan yang lain untuk membantu ke arah yang kita mahu dari segi reformasi perumahan.

"Keutamaan adalah untuk mereka yang mencari rumah mampu milik. Ini adalah satu bidang yang akan kita lihat," katanya ketika ditemui selepas pemberita majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2025 dan Property Information System Malaysia (PRISM) 2.0 di sini, hari ini.

Mengenai unit kediaman siap dibina tidak terjual meningkat pada separuh pertama 2025, Amir Hamzah berkata, jika dilihat secara menyeluruh, pasaran hartanah tempatan masih stabil.

Beliau berkata, kerajaan akan terus melihat cara dan bagaimana untuk menyokong segmen itu dalam pasaran.

Malah, katanya, dalam RMK13, keutamaan diberikan kerajaan dalam reformasi perumahan terutama dalam pembangunan rumah mampu milik.

Menurut Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2025 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan unit kediaman siap dibina tidak terjual merekodkan peningkatan kepada 26,911 unit bernilai RM16.44 bilion, naik 16.3 peratus dan 17.9 peratus dalam bilangan dan nilai berbanding tempoh sebelumnya (separuh kedua 2024: 23,149 unit bernilai RM13.94 bilion).

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/09/1442221/belanjawan-2026-cari-mekanisme-baharu-utamakan-rumah-mampu-milik

 


>> Back to News


Print