Lokasi tak strategik, kos sara hidup tinggi faktor rumah bawah RM300,000 kurang laku - Penganalisis
09 Sep 2025KUALA LUMPUR: Lokasi yang tidak strategik dan kenaikan kos sara hidup berkemungkinan mendorong bilangan kediaman siap tidak terjual yang lebih tinggi membabitkan kediaman berharga RM300,000 ke bawah, demikian menurut penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berpendapat situasi kediaman siap tidak terjual membabitkan julat harga bawah RM300,000 sememangnya sudah dijangka.
Beliau berkata, situasi itu berkemungkinan berikutan kenaikan kos sara hidup yang memberi kesan kepada kuasa beli terutama bagi golongan M40 dan B40.
Justeru, katanya, sasaran harga rumah RM300,000 sememangnya untuk golongan M40 dan berikutan kenaikan kos sara hidup mereka perlu menimbang keutamaan mereka antara perkara asas seperti makanan, minuman, keperluan persekolahan anak-anak atau keinginan membeli rumah.
"Sudah pasti dalam kes seperti keperluan utama seperti makanan dan minuman serta keperluan keluarga akan menjadi keutamaan dan dari segi pemilikan rumah, pilihan untuk menyewa akan dilihat lebih pragmatik bagi mengimbangi keperluan kehidupan dengan apa yang mampu dibeli," katanya kepada BH.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kediaman berharga bawah RM300,000 menerajui bilangan kediaman siap dibina tidak terjual dalam tempoh Januari hingga Jun 2025, menurut Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2025 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Dalam tempoh itu, sebanyak 9,710 unit bernilai RM2.30 bilion unit kediaman siap tidak terjual direkodkan atau mewakili 36.1 peratus daripada jumlah keseluruhan unit kediaman siap dibina tidak terjual sebanyak 26,911 unit bernilai RM16.44 bilion yang dicatatkan dalam separuh pertama 2025.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UNIKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berpandangan bahawa situasi itu mungkin disebabkan oleh kediaman berkenaan terletak di lokasi yang tidak strategik terutama kawasan baharu yang jauh dari pusat bandar utama.
Beliau berkata, dengan tiadanya kegiatan ekonomi di kawasan itu serta mungkin berkedudukan jauh dari infrastruktur seperti lebuh raya dan pengangkutan awam menyebabkan rumah di kawasan itu berharga bawah RM300,000 memandangkan harga tanah yang rendah dan lebih sesuai dengan kos keseluruhan.
Katanya, golongan yang disasarkan untuk membeli rumah pada julat harga itu adalah golongan keluarga muda, mahupun M40 dan sedikit kumpulan isi rumah yang pendapatan bulanan mereka adalah yang tertinggi dalam kategori B40 atau Upper B40.
"Kenaikan kos sara hidup yang meningkat turut menyumbang kepada kebimbangan ini, antaranya mereka tidak mampu menyediakan deposit 10 peratus yang diperlukan serta kos lain seperti guaman, duti setem dan sebagainya yang agak membebankan kepada mereka.
"Keutamaan lebih kepada menangani kos sara hidup dan terus menyewa kerana tidak mampu membayar deposit, walaupun pinjaman dari institusi kewangan dikatakan mudah untuk didapati," katanya.
Aimi Zulhazmi tidak menolak kemungkinan tiada komunikasi atau maklumat yang disebarkan mengenai bantuan kerajaan juga menyumbang kepada situasi itu.
Beliau berkata, sebenarnya kerajaan menyediakan pelbagai bantuan deposit rumah di Malaysia melalui skim seperti MyHome, Skim MyDeposit dan program kerjasama dengan pemaju.
"Bantuan ini biasanya berbentuk geran tunai atau pembiayaan 100 peratus untuk pembeli rumah pertama, dengan syarat kelayakan tertentu seperti had pendapatan dan harga rumah. Bantuan ini boleh dipohon melalui pemaju atau bank yang terbabit dalam skim berkenaan," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/09/1443143/lokasi-tak-strategik-kos-sara-hidup-tinggi-faktor-rumah-bawah
>> Back to News