Rumah siap tak terjual naik 16 peratus, tetapi pakar yakin keadaan masih terkawal
18 Sep 2025KUALA LUMPUR: Jumlah rumah yang telah siap dibina tetapi masih tidak terjual, atau 'overhang', menunjukkan peningkatan pada separuh pertama tahun ini, mencetuskan persoalan mengenai kesihatan sebenar pasaran hartanah negara.
Menurut laporan analisis oleh TA Securities yang memetik data NAPIC, jumlah unit kediaman 'overhang' meningkat sebanyak 16.3 peratus kepada 26,911 unit.
Dari segi nilai, ia meningkat 17.9 peratus kepada RM16.4 bilion berbanding penghujung 2024.
Walau bagaimanapun, firma penyelidikan itu menegaskan bahawa angka ini tidak seharusnya dilihat sebagai isyarat bahaya.
"Walaupun ini menandakan satu pembalikan selepas beberapa suku tahunan penurunan, kami tidak melihat peningkatan ini sebagai sesuatu yang membimbangkan," jelas laporan itu.
TA Securities memberikan dua sebab utama mengapa keadaan masih terkawal. Pertama, jumlah 'overhang' semasa masih berada di bawah paras tertinggi sebelum pandemik, di mana pada tahun 2018-2019, jumlahnya pernah melebihi 30,000 unit.
Kedua, dan yang paling penting, pemaju hartanah kini lebih berdisiplin dalam mengawal bekalan projek baharu.
"Sejak lonjakan bekalan pada 2012-2015, pemaju telah menjadi lebih berdisiplin, dengan bekalan kediaman baharu yang masuk berada jauh di bawah puncak sejarah.
Disiplin ini menunjukkan bahawa kenaikan semasa tidak mungkin akan membesar menjadi kitaran lebihan bekalan yang berstruktur," tambah laporan itu.
Peningkatan ini ditafsirkan sebagai cerminan permintaan yang lebih selektif dalam kalangan pembeli, di mana projek mampu milik dan terletak di lokasi strategik terus mendapat sambutan hangat.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/09/1444452/rumah-siap-tak-terjual-naik-16-peratus-tetapi-pakar-yakin-keadaan
>> Back to News