Sektor hartanah masih berdaya tahan, nilai jualan meningkat
30 Sep 2025KUALA LUMPUR: Sektor hartanah Malaysia masih berdaya tahan dengan segmen industri dan tanah pembangunan terus utuh, demikian menurut penganalisis.
TA Securities berkata, menurut perangkaan terkini Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi separuh pertama 2025, pasaran hartanah Malaysia merekodkan 196,232 transaksi bernilai RM107.7 bilion, mencerminkan penurunan 1.3 peratus dalam volum, namun peningkatan 1.9 peratus dalam nilai berbanding separuh pertama 2024.
Ia berkata, aktiviti pasaran bercampur-campur merentas segmen dengan jumlah transaksi komersial dan pertanian menguncup sebanyak 1.3 peratus dan 4.0 peratus, manakala transaksi perindustrian dan tanah pembangunan meningkat sebanyak 8.5 peratus dan 3.7 peratus.
Katanya, dari segi nilai, segmen komersial, perindustrian dan tanah pembangunan masing-masing meningkat 3.1 peratus, 5.6 peratus dan 18.3 peratus, manakala pertanian merosot mendadak sebanyak 11.3 peratus.
Menurutnya, dalam segmen kediaman, yang menyumbang sebahagian besar aktiviti pasaran memperlihatkan transaksi yang dicatatkan merosot 1.4 peratus dari segi volum dan susut 0.1 peratus dari segi nilai.
"Empat negeri utama iaitu Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pulau Pinang, yang secara kolektif menyumbang kira-kira separuh daripada transaksi nasional, juga mencatatkan penguncupan kecil sebanyak 0.2 peratus dalam bilangan dan 0.1 peratus dalam nilai berbanding separuh pertama 2024," katanya dalam satu nota penyelidikan.
TA Securities berkata, berdasarkan penelitiannya, penyederhanaan yang dicatatkan hanya kecil jika dilihat dari konteks sejarah.
Ia berkata, aktiviti kediaman kekal jauh mengatasi paras rendah pasca pandemik dan kemerosotan adalah kecil terutamanya mencerminkan kesan asas tinggi selepas beberapa tahun pertumbuhan kukuh.
Mengikut negeri, TA Securities berkata, Johor menyerlah dengan jumlah urus niaga kediaman dan nilai meningkat lebih baik berbanding negeri lain.
Ia berkata, transaksi kediaman di Johor berdaya tahan dengan jumlahnya meningkat 13 peratus pada separuh pertama 2025.
Sementara itu, nilai transaksi kediaman di Johor pula meningkat sembilan peratus, disokong oleh keyakinan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), katanya.
Pihaknya menyifatkan keutuhan berikutan limpahan keyakinan daripada JS-SEZ dan projek infrastruktur yang sedang berjalan seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura.
"Ini mengukuhkan pandangan kami bahawa Johor akan kekal sebagai pemacu pertumbuhan struktur bagi sektor berkenaan, terutamanya bagi pemaju yang mempunyai pendedahan bank tanah strategik di Iskandar Malaysia.
"Ia termasuklah Crescendo, Eco World, IOI Properties Group, IWH, Lagenda, Mah Sing, Scientex , SP Setia, Sunway dan UEM Sunrise," katanya.
Melangkah ke separuh tahun kedua 2025, trajektori pertumbuhan pasaran hartanah dijangka kekal optimistik dengan pendekatan berhati-hati.
Unjuran semula ekonomi negara bagi 2025 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada 4.0 peratus hingga 4.8 peratus, seiring dengan perkembangan sederhana pasaran hartanah.
Penyesuaian itu mengambil kira cabaran ekonomi global, ketidaktentuan permintaan domestik dan risiko luaran yang sukar diramal.
Pelan pembangunan yang direncanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) juga turut memberi penekanan sektor hartanah dengan sasaran membina sejuta rumah mampu milik bagi tempoh 2026 hingga 2035.
Langkah itu dilihat sebagai usaha strategik untuk menggalakkan pemilikan rumah sendiri terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Kerangka Ekonomi MADANI terus memperkenalkan inisiatif bagi merangsang aktiviti pasaran hartanah.
Antaranya pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman perumahan perumahan bagi pembelian yang dibuat antara 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027 bagi kediaman bernilai RM500,000 hingga RM750,000 dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) telah dinaikkan menjadi RM10 bilion bagi meningkatkan akses pembiayaan pembelian rumah pertama.
Selain itu, penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus juga dijangka mampu meningkatkan kemampuan kewangan pembeli, sekali gus merangsang permintaan pasaran hartanah terutamanya hartanah kediaman.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/09/1448838/sektor-hartanah-masih-berdaya-tahan-nilai-jualan-meningkat
>> Back to News