Wajibkan dasar 'bina kemudian jual' elak projek rumah terbengkalai - HBA
04 Nov 2025KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah (HBA) menegaskan bahawa pelaksanaan sistem bina kemudian jual (BKJ) perlu diwajibkan bagi membendung masalah projek perumahan terbengkalai yang terus menghantui sektor pembinaan dan pembeli rumah di negara ini.
Setiausaha Agung HBA, Datuk Chang Kim Loong, berkata walaupun dokumen dan peraturan berkaitan BKJ sudah diwujudkan sejak 2012, pelaksanaannya tidak pernah diwajibkan dan hanya diberikan sebagai pilihan kepada pemaju.
"Kalau tidak dijadikan mandatori, ia tidak akan membawa makna kerana kebanyakan pemaju tetap memilih sistem jual dan bina. Hasilnya, kita tidak boleh elak projek terbengkalai. Satu-satunya cara untuk selesaikan isu ini adalah dengan mewajibkan sistem BKJ," katanya kepada BH.
Melalui model pembinaan perumahan swasta BKJ, pemaju hanya boleh mengenakan 10 peratus wang pendahuluan dengan baki 90 peratus dibayar selepas kediaman siap.
Pemaju juga hanya boleh menuntut baki bayaran selepas melengkapkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta penyerahan Pemilikan Kosong (VP).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, kelmarin berkata kementeriannya akan mengumumkan lima langkah reformasi industri perumahan pada 20 November ini bagi memastikan tiada lagi projek perumahan swasta terbengkalai menjelang 2030.
Beliau dilaporkan berkata, langkah reformasi itu adalah sebahagian daripada pelan komprehensif kementerian untuk memperkukuh tadbir urus dan pengurusan kewangan dalam industri perumahan, selain memperkasa perlindungan hak pembeli rumah.
Katanya, KPKT menggariskan pelan tindakan bagi memastikan peralihan daripada konsep Jual Kemudian Bina (JKB) kepada BKJ dapat dilaksanakan secara berperingkat.
Mengulas lanjut, Kim Loong berkata, cadangan insentif itu bukan sesuatu yang baharu kerana kerajaan sebelum ini pernah menawarkan tiga jenis galakan kepada pemaju bagi tujuan sama.
"Lima tahun lalu kita pernah beri tiga insentif. Pertama, kelulusan pantas dalam tempoh enam bulan; kedua, pengecualian caj penyelenggaraan tiga peratus dan ketiga, pengurangan premium tanah serta caj pihak berkuasa tempatan," katanya.
Namun begitu, katanya, pendekatan berasaskan galakan tidak berkesan sekiranya pelaksanaan sistem BKJ tidak diwajibkan secara menyeluruh.
"Kalau terus beri pilihan kepada pemaju sama ada mahu bina dan jual atau jual dan bina, ia tetap tidak akan menyelesaikan masalah. Sudah lebih 10 tahun perkara ini berlarutan," katanya.
Kim Loong berkata, pelaksanaan mandatori boleh dilakukan secara berperingkat mengikut kawasan tumpuan pembangunan yang tinggi.
"Kita boleh lakukan secara berfasa dulu. Laksanakan mandatori di negeri yang banyak projek seperti Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Kawasan lain boleh kekal dengan sistem sedia ada buat sementara," katanya.
Beliau juga menambah bahawa isu utama yang menyebabkan projek terbengkalai bukan kerana tiada peraturan, tetapi kegagalan menguatkuasakan undang-undang sedia ada.
"Kita mempunyai akta yang memperuntukkan kuasa kepada kerajaan untuk mendakwa pemaju projek terbengkalai. Namun sejak 2005, belum pernah ada satu pun kes pemaju didakwa atau dipenjara.
"Sistem BKJ bukan sahaja realistik, malah satu-satunya mekanisme jangka panjang bagi melindungi pembeli rumah dan memperkukuh keyakinan terhadap sektor hartanah negara," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/11/1466292/wajibkan-dasar-bina-kemudian-jual-elak-projek-rumah-terbengkalai-hba
>> Back to News