shopify analytics ecommerce
tracking

Makna hutang isi rumah kepada pasaran hartanah di Malaysia

09 Mar 2026

Hutang isi rumah merupakan antara indikator ekonomi yang kerap menjadi perhatian dalam laporan kewangan dan berita pasaran.

Secara asasnya, ia merujuk kepada jumlah keseluruhan pinjaman yang ditanggung oleh individu dan keluarga daripada institusi kewangan, termasuk pinjaman perumahan, pembiayaan kenderaan, pinjaman peribadi dan baki kad kredit.

Angka ini tidak membabitkan hutang syarikat atau kerajaan, sebaliknya menggambarkan tahap komitmen kewangan rakyat dalam kehidupan seharian.

Menurut laporan terkini separuh pertama 2025 oleh Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah hutang isi rumah mencecah kira-kira RM1.65 trilion setakat Mac 2025, bersamaan 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Nisbah ini membandingkan jumlah hutang dengan saiz keseluruhan ekonomi negara dan menjadi ukuran penting untuk menilai sama ada pertumbuhan pinjaman bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan.

Sebahagian besar hutang isi rumah di Malaysia datang daripada pinjaman perumahan, yang merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan hutang.

Dari perspektif hartanah, keadaan ini tidak mengejutkan. Kadar pemilikan rumah di Malaysia adalah antara yang tinggi di rantau ini, dan pembelian rumah lazimnya membabitkan komitmen jangka panjang sehingga 30 atau 35 tahun.

Justeru, pasaran perumahan memainkan peranan besar dalam membentuk statistik hutang isi rumah negara.

Dari sudut hartanah, angka 84.3 peratus ini perlu diteliti dengan lebih mendalam. Hutang perumahan pada asasnya merupakan hutang yang disokong oleh aset.

Berbanding pinjaman tidak bercagar, pembiayaan rumah berkait rapat dengan nilai hartanah yang berpotensi meningkat dalam jangka panjang.

Selagi harga hartanah kekal stabil dan pasaran pekerjaan kukuh, risiko sistemik daripada pinjaman perumahan adalah lebih terkawal.

Namun, pertumbuhan harga yang terlalu pantas tanpa pertambahan pendapatan yang sepadan boleh menimbulkan tekanan terhadap kemampuan pembeli.

Dalam konteks Asia Tenggara, Malaysia berada dalam kelompok teratas dari segi nisbah hutang isi rumah kepada KDNK, walaupun bukan yang tertinggi.

Thailand mencatat nisbah yang lebih tinggi, manakala negara seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina berada jauh di bawah paras Malaysia.

Kedudukan ini mencerminkan tahap kematangan sistem kewangan serta akses kredit yang lebih meluas di Malaysia, khususnya bagi pembiayaan perumahan.

BNM menegaskan bahawa walaupun nisbah hutang adalah tinggi, keadaan keseluruhan masih terkawal. Kadar pinjaman terjejas kekal rendah sekitar 1.1 peratus, menunjukkan majoriti peminjam terus memenuhi komitmen bayaran balik.

Selain itu, aset kewangan isi rumah secara agregat adalah lebih dua kali ganda daripada jumlah hutang, menyediakan penampan sekiranya berlaku kejutan ekonomi.

Namun begitu, paras hutang yang tinggi mengehadkan ruang untuk pengembangan kredit secara agresif pada masa hadapan. Dalam persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi dan kos sara hidup yang meningkat, pembeli rumah menjadi lebih berhati-hati dan selektif.

Permintaan kini lebih tertumpu kepada segmen mampu milik serta hartanah yang menawarkan nilai praktikal berhampiran pusat pekerjaan dan rangkaian pengangkutan awam.

Bagi pemaju dan pelabur, statistik hutang isi rumah menjadi petunjuk penting dalam merangka strategi pembangunan dan harga.

Pasaran mungkin tidak lagi menyokong kenaikan harga yang mendadak, sebaliknya memerlukan keseimbangan antara harga, pendapatan dan kemampuan pembeli.

Pertumbuhan pasaran hartanah pada masa hadapan akan lebih bergantung kepada pertumbuhan pendapatan sebenar, kestabilan pekerjaan dan dasar pembiayaan yang berhemat.

Kesimpulannya, nisbah hutang isi rumah sebanyak 84.3 peratus bukan sekadar angka dalam laporan ekonomi. Ia mencerminkan struktur pembiayaan pemilikan rumah di Malaysia dan tahap kebergantungan kepada kredit dalam menyokong pertumbuhan.

Walaupun kedudukannya tinggi dalam konteks serantau, faktor seperti kualiti pinjaman yang baik, aset kewangan yang kukuh dan disiplin pemberian kredit memberi keyakinan bahawa keadaan masih berada dalam lingkungan terkawal.

Bagi sektor hartanah, tumpuan kini adalah memastikan pertumbuhan yang lebih seimbang dan mampan dalam landskap kewangan yang semakin mencabar. 

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/03/1516035/makna-hutang-isi-rumah-kepada-pasaran-hartanah-di-malaysia

Penulis ialah Pengarah Penyelidikan Rahim & Co International Sdn Bhd

 


>> Back to News


Print