Kos tenaga: Kemampuan miliki kediaman bertingkat perlu dinilai semula - KRI
24 Jun 2026KUALA LUMPUR: Kemampuan memiliki rumah di Malaysia perlu dinilai semula dengan mengambil kira kos penyelenggaraan dan penggunaan tenaga, terutama bagi kediaman bertingkat tinggi yang semakin mendominasi kawasan bandar.
Penyelidik di Khazanah Research Institute (KRI), Muhammad Nazhan Kamaruzuki, berkata peningkatan kos tenaga berpotensi menyebabkan yuran penyelenggaraan strata terus meningkat, sekali gus menambah beban kewangan pemilik dan penghuni kondominium serta pangsapuri.
Katanya, penggunaan tenaga di kediaman bertingkat tinggi banyak bergantung kepada operasi sistem penting bangunan seperti lif, pam air dan kemudahan bersama yang perlu berfungsi secara berterusan.
"Apabila kos penggunaan tenaga untuk lif, pam dan kemudahan meningkat, kos yuran penyelenggaraan strata juga turut meningkat.
"Besar kemungkinan yuran penyelenggaraan yang dikutip daripada pemilik petak strata tidak mencukupi dan memerlukan penambahan," katanya dalam artikel bertajuk Cabaran Kediaman Vertikal Menangani Krisis Tenaga: Tiga Titik Buta Sektor Perumahan Malaysia.
Muhammad Nazhan berkata, keadaan itu bermakna penghuni masih berdepan peningkatan kos walaupun mereka berjaya mengurangkan penggunaan elektrik dalam unit kediaman masing-masing.
Sehubungan itu, institut berkenaan berpandangan penilaian terhadap kemampuan perumahan tidak lagi boleh tertumpu kepada harga pembelian semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira kos jangka panjang untuk mendiami sesebuah kediaman.
"Kegagalan mengambil kira faktor berkenaan boleh mewujudkan situasi di mana sesebuah rumah masih mampu dimiliki, namun semakin mahal untuk didiami dan diselenggara.
"Pada masa sama, setiap projek kediaman bertingkat tinggi baharu perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan kepadatan pembangunan atau pulangan ekonomi, tetapi juga tahap kecekapan tenaga dan keupayaannya menyesuaikan diri dengan sumber tenaga hijau pada masa depan," katanya.
Artikel itu turut mencadangkan semakan terhadap struktur tarif utiliti, khususnya bagi pangsapuri servis yang masih dikenakan kadar komersial walaupun digunakan sepenuhnya sebagai kediaman.
Selain itu, kerangka perundangan juga dicadangkan dipinda bagi membolehkan pengurusan strata menggunakan dana wang penjelas (sinking fund) secara lebih fleksibel untuk menangani lonjakan kos tenaga.
Menurutnya, dengan kediaman bertingkat tinggi kini menjadi pilihan utama di bandar-bandar besar, aspek kos operasi dan penggunaan tenaga perlu diberi perhatian lebih serius bagi memastikan perumahan kekal mampu didiami dalam jangka panjang.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/06/1575293/kos-tenaga-kemampuan-miliki-kediaman-bertingkat-perlu-dinilai-semula
>> Back to News