shopify analytics ecommerce
tracking

Kos binaan dijangka naik sehingga 15 peratus, pemaju berdepan tekanan

29 Jun 2026

KUALA LUMPUR: Kos pembinaan bagi tender baharu dijangka meningkat antara lima hingga 15 peratus pada separuh kedua tahun ini, sekali gus meningkatkan risiko pelaksanaan projek hartanah apabila pemaju berdepan tekanan kos, kelewatan kelulusan serta permintaan yang lebih perlahan.

Perkembangan itu turut dijangka menyebabkan sebahagian pelancaran projek baharu dianjak ke separuh kedua tahun ini, meskipun kebanyakan pemaju masih mengekalkan sasaran jualan bagi tahun kewangan 2026.

Menurut CIMB Securities dalam nota penyelidikannya, pasaran hartanah Malaysia kini berada di persimpangan apabila beberapa faktor mencabar mula memberi tekanan kepada sektor berkenaan selepas aktiviti pasaran yang lebih sederhana pada suku pertama tahun ini.

Penganalisisnya, Kenny Mak Hoy Ken dan Wei Yi Tan, berkata walaupun kebanyakan pemaju menjangkakan impak terhadap margin keuntungan dalam jangka terdekat masih terhad, terdapat syarikat yang mengakui keperluan untuk berkongsi sebahagian kos berikutan peningkatan kos pembinaan.

"Meskipun pemaju menyatakan impak terhadap margin dalam tempoh terdekat adalah terhad, sesetengah pihak mengakui keperluan yang semakin meningkat untuk berkongsi kos," katanya.

Menurut laporan itu, beberapa pemaju turut mempertimbangkan penangguhan projek secara terpilih bagi membantu menyokong aliran tunai kontraktor yang turut berdepan peningkatan kos pembinaan.

CIMB Securities berkata, kos pembinaan bagi tender baharu dijangka meningkat antara lima hingga 15 peratus, manakala kelewatan kelulusan projek yang dikaitkan dengan landskap politik yang sedang berkembang dijangka terus mempengaruhi jadual pelaksanaan projek baharu.

Katanya, gabungan faktor berkenaan menyebabkan beberapa pelancaran projek ditangguhkan ke separuh kedua tahun ini, sekali gus meningkatkan cabaran kepada pemaju untuk melaksanakan perancangan pembangunan mengikut jadual asal.

Walaupun begitu, firma penyelidikan itu berkata, kebanyakan syarikat pemaju di bawah liputannya masih mengekalkan sasaran jualan hartanah bagi tahun kewangan 2026, mencerminkan keyakinan terhadap permintaan pasaran dalam tempoh sederhana.

Bagaimanapun, CIMB Securities berpandangan risiko pelaksanaan dijangka terus meningkat sekiranya tekanan kos pembinaan, kelewatan pelancaran projek dan permintaan yang lebih perlahan berterusan sepanjang separuh kedua tahun ini.

Dalam laporan sama, firma itu mengekalkan saranan 'Neutral' terhadap sektor hartanah dengan menyifatkan keupayaan pemaju melaksanakan projek mengikut perancangan akan menjadi faktor utama yang membezakan prestasi syarikat dalam tempoh akan datang.

Menurutnya, walaupun sektor berkenaan dijangka berdepan beberapa cabaran dalam jangka pendek, segmen hartanah perindustrian serta pembangunan di Johor kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong permintaan yang berterusan serta pembangunan infrastruktur utama di negeri berkenaan.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/06/1578200/kos-binaan-dijangka-naik-sehingga-15-peratus-pemaju-berdepan-tekanan


>> Back to News


Print