shopify analytics ecommerce
tracking

Reformasi sektor perumahan mesti berpandukan data lebih bersepadu

17 Jul 2026

PETALING JAYA: Kerajaan disaran memperkukuh reformasi sektor perumahan dengan mengguna pakai kerangka dasar berasaskan data yang lebih bersepadu bagi memastikan setiap keputusan pembangunan dibuat berdasarkan keperluan sebenar pasaran, sekali gus mewujudkan ekosistem perumahan yang lebih seimbang, inklusif dan mampan.

Pengerusi REHDA Institute, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip, berkata penggubalan dasar perumahan tidak lagi boleh bergantung kepada maklumat yang dikumpulkan secara berasingan oleh pelbagai agensi kerana pendekatan itu menyukarkan kerajaan memperoleh gambaran menyeluruh mengenai permintaan dan penawaran pasaran.

Beliau berkata, data berkaitan sektor perumahan sebenarnya sudah tersedia menerusi pelbagai platform, namun kekurangan penyelarasan menyebabkan maklumat berkenaan masih belum dimanfaatkan secara optimum dalam merangka dasar yang lebih berkesan.

"Kami mencadangkan kepada kerajaan supaya dasar dibentuk berasaskan data. Data sangat penting. Ia wujud dalam pasaran, tetapi tidak disepadukan," katanya pada Sidang Media Pelancaran Persidangan Perumahan Serantau 2026 anjuran REHDA Institute di sini, hari ini.

Persidangan itu dijadual berlangsung pada 29 Julai 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Tiong Lip berkata, antara pangkalan data utama yang berkaitan dengan sektor perumahan ialah Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS), Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta Pangkalan Data Utama (PADU).

Bagaimanapun, katanya, data yang masih terpisah antara agensi mengehadkan keupayaan kerajaan untuk menghasilkan analisis lebih menyeluruh bagi menyokong penggubalan dasar dan perancangan pembangunan perumahan dalam jangka panjang.

Beliau berkata, penyepaduan data merangkumi aspek pendapatan isi rumah, bekalan perumahan, demografi, jaringan pengangkutan dan perancangan bandar akan membolehkan kerajaan membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan keperluan sebenar rakyat.

Katanya, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kembar digital juga mampu meningkatkan ketepatan perancangan, namun keberkesanannya bergantung kepada kewujudan data yang lengkap, bersepadu dan boleh dipercayai.

"Teknologi ini boleh mengenal pasti ketidakpadanan sebelum ribuan unit rumah dibina, termasuk menentukan jumlah rumah diperlukan, jenis kediaman, lokasi yang sesuai serta hubungannya dengan peluang pekerjaan dan kemudahan perkhidmatan," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/07/1587831/reformasi-sektor-perumahan-mesti-berpandukan-data-lebih-bersepadu

 


>> Back to News


Print