shopify analytics ecommerce
tracking

KPKT perkenal data raya mulai 2027 kesan permintaan rumah ikut keperluan sebenar rakyat

18 Aug 2026

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan analitik data raya mulai tahun depan bagi membantu menangani ketidakpadanan antara penawaran rumah dengan keperluan sebenar rakyat mengikut lokaliti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata masalah utama sektor perumahan ketika ini bukan lagi sekadar berkaitan penawaran atau pembinaan rumah, sebaliknya produk yang dibangunkan tidak semestinya memenuhi keperluan pasaran di sesuatu kawasan.

Justeru, katanya sistem berkenaan akan menyediakan data mengikut lokaliti, wilayah dan negeri untuk dijadikan rujukan pemaju sebelum sesuatu projek dibangunkan.

"Masalah utama kita dalam sektor perumahan bukan penawaran dan pembinaan tetapi apabila berlaku ketidakpadanan, produk yang ditawarkan bukan produk yang diperlukan. Ia sekali gus menjadi punca lambakan hartanah atau 'overhang property'.

"Dengan analitik data raya, pemaju boleh merujuk data yang disediakan sebelum membangunkan projek supaya kajian kebolehlaksanaan mereka lebih dipacu data dan produk yang dibina benar-benar diperlukan pasaran," katanya pada sidang media selepas pelancaran Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 di sini, hari ini.

Tambah Kor Ming, sistem ini tidak akan diwajibkan kepada pemaju, namun KPKT akan membuka akses kepada pemain industri untuk mendapatkan data berkenaan sebagai rujukan dalam membuat keputusan pembangunan.

Beliau berkata data itu turut akan mengambil kira perbezaan pendapatan dan keperluan mengikut lokaliti bagi membantu menentukan jenis serta harga rumah yang lebih bersesuaian dengan kemampuan penduduk setempat.

Katanya, penggunaan analitik data raya yang dibantu teknologi kecerdasan buatan (AI) juga akan membantu mengenal pasti lokasi, jenis produk dan harga yang bersesuaian berdasarkan permintaan sebenar.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata KPKT turut menyasarkan Malaysia tidak lagi mempunyai projek perumahan gagal menjelang 2030 menerusi agenda reformasi Perumahan MADANI.

Katanya, pasukan petugas khas KPKT berjaya memulihkan 1,647 projek sakit dan terbengkalai dalam tempoh tiga tahun, membabitkan hampir 200,000 pembeli dengan nilai projek kira-kira RM153 bilion.

Selain itu, kata beliau, kerajaan turut akan memperkenalkan klausa 'Option to Purchase' (OTP) pada akhir tahun ini sebagai mekanisme pencegahan bagi mengurangkan risiko projek perumahan gagal.

"Di bawah klausa ini, kita akan memberikan satu tempoh tertentu dan dalam tempoh itu, sekiranya jualan tidak memberangsangkan dan pemaju merasakan projek berkenaan berisiko menjadi projek gagal, mereka mempunyai hak untuk menawarkan penarikan diri.

"Deposit yang dibayar pembeli akan dipulangkan 100 peratus bersama faedah bank," katanya.

Beliau berkata pembeli juga diberi hak menarik diri dalam tempoh ditetapkan sekiranya mereka mendapati terdapat pilihan projek lain yang lebih baik, namun perlu membayar caj pentadbiran dan faedah kepada pemaju.

"Mekanisme itu bertujuan memberikan perlindungan yang lebih seimbang kepada pemaju dan pembeli, selain mengelakkan projek diteruskan walaupun tahap jualan tidak mencukupi. Dengan OTP, saya yakin ia akan banyak membantu mengurangkan projek yang terbengkalai," katanya.

Kor Ming berkata mekanisme OTP akan menjadi sebahagian daripada rangka kerja reformasi perumahan KPKT bersama Housing Integrated Management System (HIMS), Electronic Sales and Purchase Agreement (e-SPA) serta audit berkala Akaun Pemajuan Perumahan (HDA).

KPKT hari ini juga melancarkan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 sebagai hala tuju pembangunan sektor perumahan negara bagi tempoh sedekad akan datang.

DRN 2026-2035 turut menetapkan sasaran penyediaan satu juta rumah mampu milik menjelang 2035 menerusi pendekatan yang lebih menyeluruh, bersepadu dan berasaskan data.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/08/1600121/kpkt-perkenal-data-raya-mulai-2027-kesan-permintaan-rumah-ikut


>> Back to Article


Print