shopify analytics ecommerce
tracking

SST: Pemaju lega pangsapuri atas tanah komersial dikecualikan cukai

03 Jul 2025

KUALA LUMPUR: Pengecualian peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk bangunan pangsapuri perkhidmatan yang dibina di atas tanah hak milik komersial memberikan nafas lega buat syarikat pemaju hartanah, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis RHB Investment Bank, Loong Kok Wen, berkata kerajaan baru-baru ini menjelaskan bahawa segmen ini sekarang dikecualikan daripada dikenakan SST selagi unit terbabit dibina untuk kediaman dan berada bawah seliaan Akta Pemaju Perumahan (HDA).

Tambahan itu, beliau berkata, bahan penting untuk pembinaan seperti simen, batu agregat dan pasir masih tertakluk pada cukai sebanyak sifar peratus.

"Dengan itu, hanya sebahagian komponen pembinaan yang akan dikenakan cukai enam peratus dan hal ini hanya akan menjejaskan segmen hartanah perindustrian dan komersial," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mengenai industri hartanah secara keseluruhan, Kok Wen berkata, pasaran kelihatan agak mencabar apabila berlaku perubahan dari segi pelaksanaan dasar tarif pada peringkat dunia, selain ketegangan geopolitik yang semakin meruncing di rantau Asia Barat.

Beliau bagaimanapun berkata, permintaan dan sentimen pelabur sektor hartanah sepatutnya kembali pulih sebaik sahaja maklumat lanjut berhubung perubahan kawal selia didedahkan.

"Minat pelaburan asing berhubung pusat data di Malaysia terus kukuh, maka segmen perindustrian sepatutnya tetap menjadi tema pelaburan utama yang turut mendapat rangsangan daripada perang perdagangan yang berlarutan antara Amerika Syarikat (AS)-China.

"Prospek kadar faedah yang stabil pula patut membantu menyokong permintaan untuk hartanah perumahan," katanya.

Saham pilihan utama bank pelaburan itu dalam sektor hartanah ialah Sime Darby Property Bhd dan Sunway Bhd.

Dalam pada itu, Kok Wen berkata, harga dan permintaan hartanah di Iskandar Malaysia terus meningkat apabila sebilangan jumlah projek yang dilancarkan baru-baru ini oleh pemaju swasta mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Menurutnya, kadar penghunian untuk hotel terus berada pada paras tinggi semasa hujung minggu meskipun wujudnya kebimbangan dunia berhubung pelaksanaan dasar-dasar tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat (AS), sementara harga makanan dan kadar sewa untuk sesetengah gugusan kedai komersial yang sudah lama beroperasi sekarang menyamai paras kadar dan harga dalam pasaran utama Lembah Klang.

"Mengikut jangkaan kami, perbelanjaan runcit yang menggunakan mata wang dolar Singapura akan terus mempunyai kesan limpahan yang positif pada pasaran hartanah di Iskandar Malaysia yang turut didorong oleh pembinaan kereta api bagi Laluan Sistem Transit Laju yang dijangka siap pada akhir tahun 2026 dan insentif-insentif bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)," katanya.

Beliau menambah, pemaju masih yakin namun berhati-hati akan jadual perancangan projek.

"Meskipun pasaran Iskandar Malaysia masih rancak, kami percaya pemaju akan mengambil langkah lebih berjaga-jaga dalam membuat pelancaran projek di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

"Kami fikir permintaan untuk kedai-kedai industri, komersial dan perumahan bertanah akan terus teguh memandangkan pembeli dalam segmen ini kebanyakannya terdiri daripada pengguna, pelabur serta mereka yang akan membuat naik taraf.

"Segmen untuk projek kediaman bertingkat tinggi yang mampu milik pula sepatutnya terus bertahan, namun segmen pangsapuri bertingkat tinggi yang lebih mewah mungkin berdepan beberapa cabaran," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/06/1413834/sst-pemaju-lega-pangsapuri-atas-tanah-komersial-dikecualikan-cukai

 


>> Back to News


Print