shopify analytics ecommerce
tracking

Jualan rumah baharu merosot, hanya 24 peratus dijual - REHDA

24 Sep 2025

PETALING JAYA: Pasaran hartanah negara mencatatkan prestasi yang suram pada separuh pertama tahun 2025, dengan jualan projek perumahan baharu merosot secara mendadak kepada hanya 24 peratus, satu petunjuk jelas mengenai kelembapan dalam sektor itu.

Menurut Tinjauan Industri Hartanah Separuh Pertama 2025 oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), kadar jualan yang rendah ini adalah penurunan yang sangat ketara berbanding kadar jualan 55 peratus yang direkodkan pada separuh kedua tahun 2024.

Daripada sejumlah 12,938 unit kediaman yang dilancarkan oleh ahli-ahli REHDA dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, hanya 3,125 unit sahaja yang berjaya dijual.

Kelembapan ini juga dicerminkan oleh penurunan dalam jumlah pelancaran projek baharu.

Hanya 36 peratus daripada 187 ahli REHDA yang mengambil langkah untuk melancarkan projek baharu dalam tempoh itu, menunjukkan sikap yang lebih berhati-hati dalam kalangan pemaju.

Presiden REHDA, Datuk Ir Ho Hon Sang, mengakui bahawa prestasi kali ini tidak mencapai harapan industri.

"Kami percaya ramai pemaju kini menilai semula pelan mereka berikutan keadaan ekonomi semasa," katanya pada majlis pembentangan tinjauan itu di sini, hari ini.

Walaupun pasaran secara keseluruhan perlahan, tinjauan itu mendapati bahawa rumah teres dua hingga tiga tingkat serta rumah teres setingkat kekal menjadi pilihan utama dan mencatatkan jualan tertinggi dalam kalangan pembeli.

Kelembapan jualan ini berpunca daripada beberapa faktor utama, termasuk peningkatan kos yang terpaksa ditanggung oleh para pemaju. Sebanyak 74 peratus responden melaporkan kenaikan kos perniagaan antara tiga hingga enam peratus.

Selain itu, cabaran dalam sektor pembinaan seperti harga bahan binaan yang tinggi, bekalan yang tidak konsisten, dan isu tenaga kerja turut menjejaskan kelancaran projek.

Satu lagi halangan besar yang menyumbang kepada jualan yang perlahan ialah kesukaran pembeli untuk mendapatkan pinjaman perumahan. Tinjauan mendedahkan bahawa 71 peratus pemaju menghadapi masalah di mana pembeli mereka gagal mendapatkan pinjaman akhir daripada bank.

Masalah penolakan pinjaman ini adalah paling ketara bagi rumah dalam julat harga mampu milik dan sederhana, iaitu antara RM300,001 hingga RM500,000.

Meskipun berdepan dengan keadaan pasaran yang mencabar, pemaju masih merancang untuk melancarkan sejumlah 24,427 unit kediaman baharu pada separuh kedua tahun ini, dengan harapan pasaran akan kembali pulih.

Namun begitu, sentimen keseluruhan industri kekal neutral, dengan keyakinan hanya dijangka akan meningkat sedikit pada awal tahun 2026, bergantung kepada kesan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih jelas.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/09/1448039/jualan-rumah-baharu-merosot-hanya-24-peratus-dijual-rehda

 

 


>> Back to News


Print