shopify analytics ecommerce
tracking

Pasaran hartanah masuki fasa stabil, mapan tahun ini - Rahim & Co

13 Jan 2026

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah Malaysia kini memasuki fasa yang lebih stabil dan mampan menjelang 2026, dengan aktiviti pasaran kembali sederhana selepas lonjakan pasca pandemik, menurut Rahim & Co Research Sdn Bhd.

Pasaran hartanah negara dilihat beransur sederhana sepanjang 2025, namun kekal kukuh dari segi asas apabila jumlah transaksi mencatat penurunan kecil, sementara nilai keseluruhan terus meningkat. Keadaan ini mencerminkan peralihan ke arah pasaran yang semakin matang dan berfokuskan kualiti.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, jumlah transaksi hartanah menurun 2.1 peratus kepada 304,482 unit, namun masih merupakan prestasi kedua tertinggi dalam lebih sedekad. Sebaliknya, nilai keseluruhan transaksi meningkat 5.6 peratus tahun ke tahun kepada RM172.06 bilion, menandakan permintaan berterusan terhadap aset berkualiti di lokasi strategik.

Pengarah Perkhidmatan Penyelidikan dan Perundingan Rahim & Co, Sulaiman Saheh, berkata perbezaan antara penurunan jumlah transaksi dan peningkatan nilai itu menggambarkan pasaran yang semakin matang, didorong perubahan keutamaan pembeli yang kini lebih menitikberatkan kebolehdiaman, kesalinghubungan dan nilai jangka panjang berbanding faktor spekulatif.

"Pasaran sedang beralih daripada fasa pemulihan pasca pandemik kepada pertumbuhan yang lebih stabil dan mampan, disokong asas ekonomi yang kukuh serta pengurusan bekalan yang lebih berdisiplin," katanya dalam ulasan Tinjauan Pasaran Hartanah 2025/2026 Rahim & Co di sini, hari ini.

Prestasi pasaran yang lebih terkawal itu selari dengan keadaan ekonomi negara yang kekal positif sepanjang 2025. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 4.4 peratus pada separuh pertama tahun lalu sebelum meningkat kepada 5.2 peratus pada suku ketiga, dengan pertumbuhan keseluruhan tahun diunjurkan antara 4.0 hingga 4.8 peratus.

Permintaan domestik yang kukuh, aliran pelaburan berterusan serta pasaran buruh pada tahap terbaik dalam tempoh lebih sedekad terus menyokong keyakinan pasaran, walaupun tekanan kos dan isu kemampuan mendorong pembeli serta pemaju bertindak lebih berhati-hati.

Di peringkat wilayah, prestasi pasaran menunjukkan corak lebih seimbang apabila negeri seperti Johor, Kedah dan Melaka mencatat jumlah transaksi tertinggi dalam lebih sedekad. Peningkatan itu dipacu kesalinghubungan infrastruktur, pengembangan sektor perindustrian serta kesan limpahan ekonomi rentas sempadan, sekali gus mencerminkan desentralisasi permintaan hartanah yang semakin meluas melangkaui bandar utama.

Sulaiman turut menegaskan bahawa Projek Sistem Transit Pantas (RTS) Link kini menjadi pemangkin paling ketara dalam merancakkan pasaran hartanah Johor.

"Potensi Johor dan Zon Ekonomi Khas (SEZ) sangat besar disebabkan faktor Singapura. Namun, bagi memastikan pertumbuhan yang mampan, dasar yang dirangka perlu mesra pelabur, tetapi pada masa sama melindungi kepentingan pembeli Malaysia.

"Kita tidak mahu wujud risiko di mana rakyat tempatan akhirnya 'tertolak keluar' daripada pasaran akibat harga hartanah dan kos yang terlalu tinggi kesan limpahan faktor luar," katanya pada sidang media pelancaran laporan Tinjauan Pasaran Hartanah 2025/2026 di sini, hari ini.

Sektor kediaman kekal sebagai penyumbang terbesar pasaran walaupun aktivitinya menyederhana. Jumlah transaksi sektor itu menurun 2.8 peratus kepada 187,073 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, manakala nilai transaksi susut sedikit 0.3 peratus kepada RM77.88 bilion. Namun, pergerakan harga kekal terkawal apabila Indeks Harga Rumah hanya meningkat 0.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga.

Dari segi bekalan, pemaju mengambil pendekatan lebih berdisiplin dengan pelancaran baharu merosot 31.8 peratus kepada 24,913 unit, selari tumpuan terhadap kadar penyerapan, pengurusan kos serta kesesuaian produk dengan pasaran. Bagaimanapun, stok kediaman siap dibina tetapi tidak terjual meningkat kepada 49,428 unit bernilai RM33.19 bilion setakat suku ketiga, tertumpu terutamanya kepada segmen pangsapuri bertingkat tinggi dan pangsapuri servis di pusat bandar.

Bagi sektor komersial, prestasinya bercampur. Sektor runcit menunjukkan tanda pemulihan sejajar peningkatan ketibaan pelancong dan perubahan corak perbelanjaan ke arah destinasi berorientasikan pengalaman, manakala sektor pejabat terus berdepan cabaran lebihan stok dan perubahan model kerja, dengan permintaan semakin tertumpu kepada bangunan baharu yang mematuhi piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Sementara itu, sektor hartanah perindustrian kekal sebagai peneraju prestasi pasaran, disokong pelaburan berterusan dalam pusat data, pembuatan termaju dan logistik. Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mencecah RM285.2 bilion.

Menjelang 2026, Rahim & Co menjangkakan prospek pasaran hartanah negara kekal positif pada kadar sederhana, dengan pertumbuhan dipacu bukan lagi oleh kuantiti semata-mata, sebaliknya penambahbaikan kualitatif dari segi kualiti aset, kemampanan serta keselarasan dengan keperluan pengguna akhir.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/01/1494104/pasaran-hartanah-masuki-fasa-stabil-mapan-tahun-ini-rahim-co

 


>> Back to News


Print